Photobucket Image Hosting

Jangan Lupa Solat

Khamis, 25 Jun 2009

Takutlah Neraka Allah
Daripada 'Adi bin Hatim r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Tiada seorang pun dari kamu, melainkan akan diajak bicara oleh Tuhannya, tidak ada antara dia dengan Tuhannya seorang penterjemah pun.""Orang itu lalu melihat ke arah kanannya, tetapi tidak ada yang dilihat olehnya, melainkan amalan yang telah ia lakukan sebelum itu, dan ia melihat ke arah kirinya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan amalan yang ia lakukan sebelum itu,seterusnya ia melihat ke arah mukanya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan neraka yang ada di hadapannya itu.""Maka dari itu, takutlah engkau semua pada siksa api neraka, sekalipun dengan jalan sedekah dengan belahan kurma." (Muttafaq 'alaih)
Apabila Allah Mencintai HambaNya
Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jikalau Allah Ta'ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu (wahai Jibril). Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang seluruh penghuni langit dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah kecintaan padanya di kalangan penghuni bumi." (Muttafaq 'alaih)
Bumi Menjadi Saksi
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. membaca (yang bermaksud) 'Pada hari itu bumi akan memberitahukan khabar-khabarnya' (Surah Az-Zalzalah, Ayat 4)'Kemudian beliau s.a.w. bersabda, "Adakah kamu semua tahu apakah khabar-khabarnya itu?" Para sahabat berkata,"Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui." Beliau s.a.w. lalu bersabda, "Sesungguhnya khabar-khabar yang akan diberitahukan itu ialah bahawa bumi itu akan menyaksikan pada setiap hamba, lelaki atau perempuan, perihal apa yang dilakukan di atas bumi itu. Bumi akan mengucapkan, 'Orang ini akan melakukan begini dan begitu pada hari ini dan itu. Inilah khabar-khabarnya. '"Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Manusia Bertelanjang Di Padang Mahsyar
Daripada Aisyah r.a. Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Dikumpulkanlah semua manusia di padang mahsyar pada hari kiamat dengan telanjang kaki, telanjang tubuh dan tidak berkhitan kemaluannya. " Saya bertanya: "Ya Rasulullah, kalau begitu kaum wanita dan kaum lelaki semuanya dapat melihat antara yang sebahagian dengan sebahagian yang lainnya." Beliau s.a.w. menjawab: "Hai Aisyah, peristiwa pada hari itu lebih sangat (dasyat) untuk menjadi perhatian mereka daripada memerhatikan orang lain."Dalam riwayat lain disebutkan:"Peristiwa pada hari itu lebih penting untuk diperhatikan oleh setiap orang - daripada yang sebahagian melihat kepada sebahagian yang lain." (Muttafaq 'alaih)
Bayangkan ... Bagaimana Kasih Sayang Allah
Daripada Umar bin Al-Khaththab r.a., katanya: Kepada Rasulullah s.a.w. disampaikan tawanan perang. Tiba-tiba ada seorang wanita dari tawanan itu berjalan menemukan seorang anak yang juga termasuk dalam kelompok tawanan tadi. Wanita itu lalu mengambil anak tersebut lalu diletakkannya pada perutnya, kemudian disusuinya. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Adakah engkau semua dapat menduga bahawa wanita ini akan sampai hati meletakkan anaknya dalam api?" Kami (para sahabat) menjawab: "Tidak" demi Allah (maksudnya wanita yang begitu sayang pada anaknya, tidak mungkin akan sampai meletakkan anaknya dalam api)Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Nescayalah Allah itu lebih kasih sayang kepada sekalian hamba-hambaNya daripada kasih sayangnya wanita ini kepada anaknya." (Muttafaq 'alaih)
Perihal Tok Bomoh Yang Pandai 'Menengok'
Daripada salah seorang isteri nabi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, tidak diterima daripadanya solat (selama) empat puluh malam." (Riwayat Muslim)Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mendatangi seorang dukun lalu mempercayai apa yang dikatanya atau menyetubuhi seorang perempuan yang sedang haid atau menyetubuhi seorang perempuan di duburnya, maka dia telah berlepas diri daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad."(Riwayat Tirmizi : Bertaraf hassan)
Tuhan Itu Maha Pengampun
Daripada Abu Ayyub r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Andaikata engkau semua tidak ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan menciptakan suatu makhluk baru yang melakukan dosa, lalu mereka memohonkan pengampunan padaNya, kemudian Allah mengampuni mereka itu." (Riwayat Imam Muslim)Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, andaikata engkau semua tidak ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan melenyapkan engkau semua, lalu mendatangkan suatu kaum lain yang melakukan dosa kemudian mereka meminta pengampunan kepada Allah Ta'ala, lalu Allah mengampuni mereka itu." (Muttafaq 'alaih)
Bagaimana Menjawab Soalan Malaikat Kubur
Daripada Albara' bin 'Azib r.a., daripada Nabi s.a.w., sabdanya, "Seorang muslim itu apabila ditanya dalam kubur, maka ia akan menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa-sanya Muhammad adalah Rasulullah. Yang sedemikian itu adalah sesuai dengan firmannya Allah Ta'ala (yang bermaksud) "Allah memberikan ketetapan kepada orang-orang yang beriman dengan ucapan yang mantap, baik di dalam kehidupan dunia ini, mahupun dalam akhirat."(Surah Ibrahim, ayat 27) (Muttafaq 'alaih)
Sungai Yang Mengalir
Daripada Jabir r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Perumpamaan shalat-shalat lima waktu itu adalah seperti sungai yang mengalir secara melimpah-ruah pada pintu rumah seseorang dari engkau semua. Ia mandi di situ setiap hari lima kali." (Riwayat Muslim)
Aduhai .... Di Manakah Nakku Cari 40 Orang?
Daripada Ibnu Abbas r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tiada seorang muslim pun yang meninggal dunia, kemudian berdiri untuk menyembahyangi jenazahnya itu sebanyak empat puluh orang yang semuanya tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah, melainkan Allah akan mengurniakan syafaat kepada orang yang mati tadi." (Riwayat Muslim)
Makan Yang Mendatangkan Pahala
Daripada Anas r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Sesungguhnya Allah itu nescayalah redha pada seseorang hambaNya, jikalau ia makan sesuatu makanan lalu memuji kepada Allah kerana adanya makanan itu, atau minum suatu minuman lalu memuji padanya kerana adanya minuman itu." (Riwayat Muslim)
Berbaik Sangka Kepada Allah
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya:Allah Azza wa jalla berfirman-dalam Hadis Qudsi: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu dan Aku akan selalu besertanya selama ia mengingat padaKu.""Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hambaNya daripada seseorang di antara kamu semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas.""Barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sehasta dan barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sehasta, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan bergegas-gegas. " (Muttafaq 'alaih)

Tiada ulasan:

ada lagi....