Photobucket Image Hosting

Jangan Lupa Solat

Khamis, 25 Jun 2009

Antara Lima Kelebihan Ramadhan
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya."(Riwayat Imam Ahmad)
Menghidupkan Malam Ramadhan
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa berdiri bersolat dalam bulan Ramadhan kerana didorong keimanan dan keinginan memperolehi keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuknya dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)
Mereka Yang Rugi Pada Ramadhan
Daripada Ka'ab Bin Ujrah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hadirlah ke mimbar." Maka kami semua pun hadir. Apabila beliau naik satu anak tangga mimbar, beliau berkata, "amin" dan apabila naik anak tangga yang kedua, beliau berkata "amin" dan apabila beliau naik anak tangga yang ketiga baginda berkata "amin."Apabila beliau turun, kami telah bertanya, "Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar."Beliau bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata : Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan. Maka aku berkata, amin.""Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata : Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan didepannya, tidak pula dia menselawatimu. Maka aku berkata, amin.""Apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata : Binasalah dia yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga. Aku berkata "amin."(Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)
Jangan Bercakap Kotor Ketika Puasa
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah 'Azzawajalla berfirman - dalam Hadis qudsi: "Semua amal perbuatan anak Adam - yakni manusia - itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan saya akan memberikan balasan dengannya. Puasa adalah sebagai perisai - dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya adalah berpuasa." Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah bau busuk dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, iaitu apabila ia berbuka, ia pun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, ia pun gembira dengan adanya amalan puasanya." (Muttafaq 'alaih)
Pintu Khas Untuk Orang Yang Berpuasa
Daripada Sahl bin Sa'ad r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:"Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut pintu Rayyan ( Puas dan kenyang minum). Dari pintu ini masuklah semua orang yang berpuasa esok pada hari kiamat. Tidak ada seorang yang selain orang-orang yang berpuasa itu yang dapat masuk dari pintu itu. Dikatakanlah: "Manakah orang-orang yang berpuasa." Mereka itu lalu berdiri, lalu tidak seorang pun yang dapat masuk dari pintu Rayyan tadi selain orang-orang yang berpuasa. Jikalau mereka telah masuk seluruhnya, lalu pintu itu pun ditutuplah, jadi tidak seorang pun lagi yang dapat memasukinya. " (Muttafaq 'alaih)

Takutlah Neraka Allah
Daripada 'Adi bin Hatim r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Tiada seorang pun dari kamu, melainkan akan diajak bicara oleh Tuhannya, tidak ada antara dia dengan Tuhannya seorang penterjemah pun.""Orang itu lalu melihat ke arah kanannya, tetapi tidak ada yang dilihat olehnya, melainkan amalan yang telah ia lakukan sebelum itu, dan ia melihat ke arah kirinya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan amalan yang ia lakukan sebelum itu,seterusnya ia melihat ke arah mukanya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan neraka yang ada di hadapannya itu.""Maka dari itu, takutlah engkau semua pada siksa api neraka, sekalipun dengan jalan sedekah dengan belahan kurma." (Muttafaq 'alaih)
Apabila Allah Mencintai HambaNya
Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jikalau Allah Ta'ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu (wahai Jibril). Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang seluruh penghuni langit dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah kecintaan padanya di kalangan penghuni bumi." (Muttafaq 'alaih)
Bumi Menjadi Saksi
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. membaca (yang bermaksud) 'Pada hari itu bumi akan memberitahukan khabar-khabarnya' (Surah Az-Zalzalah, Ayat 4)'Kemudian beliau s.a.w. bersabda, "Adakah kamu semua tahu apakah khabar-khabarnya itu?" Para sahabat berkata,"Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui." Beliau s.a.w. lalu bersabda, "Sesungguhnya khabar-khabar yang akan diberitahukan itu ialah bahawa bumi itu akan menyaksikan pada setiap hamba, lelaki atau perempuan, perihal apa yang dilakukan di atas bumi itu. Bumi akan mengucapkan, 'Orang ini akan melakukan begini dan begitu pada hari ini dan itu. Inilah khabar-khabarnya. '"Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Manusia Bertelanjang Di Padang Mahsyar
Daripada Aisyah r.a. Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Dikumpulkanlah semua manusia di padang mahsyar pada hari kiamat dengan telanjang kaki, telanjang tubuh dan tidak berkhitan kemaluannya. " Saya bertanya: "Ya Rasulullah, kalau begitu kaum wanita dan kaum lelaki semuanya dapat melihat antara yang sebahagian dengan sebahagian yang lainnya." Beliau s.a.w. menjawab: "Hai Aisyah, peristiwa pada hari itu lebih sangat (dasyat) untuk menjadi perhatian mereka daripada memerhatikan orang lain."Dalam riwayat lain disebutkan:"Peristiwa pada hari itu lebih penting untuk diperhatikan oleh setiap orang - daripada yang sebahagian melihat kepada sebahagian yang lain." (Muttafaq 'alaih)
Bayangkan ... Bagaimana Kasih Sayang Allah
Daripada Umar bin Al-Khaththab r.a., katanya: Kepada Rasulullah s.a.w. disampaikan tawanan perang. Tiba-tiba ada seorang wanita dari tawanan itu berjalan menemukan seorang anak yang juga termasuk dalam kelompok tawanan tadi. Wanita itu lalu mengambil anak tersebut lalu diletakkannya pada perutnya, kemudian disusuinya. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Adakah engkau semua dapat menduga bahawa wanita ini akan sampai hati meletakkan anaknya dalam api?" Kami (para sahabat) menjawab: "Tidak" demi Allah (maksudnya wanita yang begitu sayang pada anaknya, tidak mungkin akan sampai meletakkan anaknya dalam api)Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Nescayalah Allah itu lebih kasih sayang kepada sekalian hamba-hambaNya daripada kasih sayangnya wanita ini kepada anaknya." (Muttafaq 'alaih)
Perihal Tok Bomoh Yang Pandai 'Menengok'
Daripada salah seorang isteri nabi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, tidak diterima daripadanya solat (selama) empat puluh malam." (Riwayat Muslim)Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mendatangi seorang dukun lalu mempercayai apa yang dikatanya atau menyetubuhi seorang perempuan yang sedang haid atau menyetubuhi seorang perempuan di duburnya, maka dia telah berlepas diri daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad."(Riwayat Tirmizi : Bertaraf hassan)
Tuhan Itu Maha Pengampun
Daripada Abu Ayyub r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Andaikata engkau semua tidak ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan menciptakan suatu makhluk baru yang melakukan dosa, lalu mereka memohonkan pengampunan padaNya, kemudian Allah mengampuni mereka itu." (Riwayat Imam Muslim)Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, andaikata engkau semua tidak ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan melenyapkan engkau semua, lalu mendatangkan suatu kaum lain yang melakukan dosa kemudian mereka meminta pengampunan kepada Allah Ta'ala, lalu Allah mengampuni mereka itu." (Muttafaq 'alaih)
Bagaimana Menjawab Soalan Malaikat Kubur
Daripada Albara' bin 'Azib r.a., daripada Nabi s.a.w., sabdanya, "Seorang muslim itu apabila ditanya dalam kubur, maka ia akan menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa-sanya Muhammad adalah Rasulullah. Yang sedemikian itu adalah sesuai dengan firmannya Allah Ta'ala (yang bermaksud) "Allah memberikan ketetapan kepada orang-orang yang beriman dengan ucapan yang mantap, baik di dalam kehidupan dunia ini, mahupun dalam akhirat."(Surah Ibrahim, ayat 27) (Muttafaq 'alaih)
Sungai Yang Mengalir
Daripada Jabir r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Perumpamaan shalat-shalat lima waktu itu adalah seperti sungai yang mengalir secara melimpah-ruah pada pintu rumah seseorang dari engkau semua. Ia mandi di situ setiap hari lima kali." (Riwayat Muslim)
Aduhai .... Di Manakah Nakku Cari 40 Orang?
Daripada Ibnu Abbas r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tiada seorang muslim pun yang meninggal dunia, kemudian berdiri untuk menyembahyangi jenazahnya itu sebanyak empat puluh orang yang semuanya tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah, melainkan Allah akan mengurniakan syafaat kepada orang yang mati tadi." (Riwayat Muslim)
Makan Yang Mendatangkan Pahala
Daripada Anas r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Sesungguhnya Allah itu nescayalah redha pada seseorang hambaNya, jikalau ia makan sesuatu makanan lalu memuji kepada Allah kerana adanya makanan itu, atau minum suatu minuman lalu memuji padanya kerana adanya minuman itu." (Riwayat Muslim)
Berbaik Sangka Kepada Allah
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya:Allah Azza wa jalla berfirman-dalam Hadis Qudsi: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu dan Aku akan selalu besertanya selama ia mengingat padaKu.""Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hambaNya daripada seseorang di antara kamu semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas.""Barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sehasta dan barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sehasta, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan bergegas-gegas. " (Muttafaq 'alaih)

Isnin, 8 Jun 2009

Allah Mencintai Orang Yang MencintaiNya
Daripada Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengirimkan seseorang untuk memimpin sepasukan tentera ke medan peperangan. Orang itu suka membaca untuk kawan-kawannya dalam solat mereka dengan Qulhu Wallahu Ahad sebagai penghabisan bacaannya. (Maksudnya, setelah membaca Al-Fatihah lalu dibaca surah lain, kemudian dibaca surah Al-Ikhlas) Setelah mereka kembali, hal itu mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w., lalu beliau bersabda: "Cuba tanyakanlah pada orang itu, mengapa melakukan yang semacam itu?" Mereka semua bertanya padanya, kemudian orang itu menjawab: "Sebab itu adalah sifatnya Allah yang Maha Penyayang, maka dari itu saya suka membacanya." Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w. (setelah diberitahu jawapan orang itu): "Beritahukanlah padanya bahawasanya Allah Ta'ala mencintainya. " (Muttafaq 'alaih)
Jangan Lupa Solat Subuh
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Sesiapa solat Subuh, maka ia adalah dalam tanggungan Allah, maka itu janganlah sampai Allah itu menuntut daripada kamu semua dengan sesuatu dari tanggunganNya"(Maksudnya jangan sampai meninggalkan solat Subuh, sebab kalau demikian, lenyaplah ikatan janji untuk memberikan tanggungan keamanan dan lain-lain antara engkau dengan Tuhanmu itu.)"Sebab sesungguhnya barangsiapa yang dituntut oleh Allah dari sesuatu tanggungannya, tentu akan dicapainya (yakni tidak mungkin terlepas), kemudian Allah akan melemparkannya atas mukanya dalam neraka Jahanam." (Riwayat Muslim)
Siksaan Teringan
Daripada an-Nu'man bin Basyir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli neraka pada hari kiamat itu adalah seseorang yang di bahagian bawah kedua kakinya diletakkan dua buah bara api yang dengannya itu mendidihlah otaknya. Orang itu tidak percaya bahawa ada orang yang mendapat siksaan yang lebih teruk daripada dirinya, padahal dialah yang teringan sekali siksanya." (Muttafaq 'alaih)
Peringkat Jilatan Api Neraka
Daripada Samurah bin Jundub r.a. bahawasanya Nabiullah s.a.w. bersabda:"Di antara ahli neraka itu ada yang dijilat oleh api neraka sampai pada kedua tumitnya, di antara mereka ada yang dijilat oleh api sampai kedua lututnya, ada juga yang sampai ke empat ikat pinggangnya dan ada pula yang sampai di tulang lehernya." (Riwayat Muslim)
Neraka Yang Begitu Menakutkan
Daripada Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu (kerana amat menakutkan). Beliau s.a.w. bersabda:"Andaikata kamu semua tahu apa yang aku ketahui, nescayalah kamu semua akan tertawa sedikit dan akan menangis banyak-banyak. "Para sahabat Rasulullah s.a.w. lalu menutupi masing-masing wajahnya sambil terdengar suara isaknya. (Muttafaq 'alaih)Dalam riwayat lain disebutkan:Rasulullah s.a.w. menerima berita bahawa ada sesuatu tentang sahabat-sahabatnya, lalu beliau berkhutbah, kemudian bersabda:"Ditunjukkanlah syurga dan neraka padaku maka belum pernah aku melihat sesuatu yang melebihi penglihatanku pada hari itu tentang bagusnya syurga dan buruknya neraka. Dan andaikata kamu semua dapat melihat apa yang dapat aku lihat, maka nescayalah aku semua akan ketawa sedikit dan menangis banyak-banyak. "Maka tidak pernah datang pada para sahabat Rasulullah s.a.w. laitu hari yang lebih dahsyat lagi dari hari itu(tentang ngerinya khutbah yang diberikan oleh beliau s.a.w.) Para sahabat semua menutupi kepala masing-masing sambil terdengar suara esaknya.

ada lagi....